Bidadari itu bukanlah daripada kalangan perempuan dunia dan bukanlah anak
Adam atau manusia. Jika kita melihat sebahagian hadis ada menyatakan paling
kurang daripada isteri seorang dalam syurga adalah dua orang perempuan anak
Adam, dan tujuh orang bidadari. Kalau manusia daripada tanah, bahan yang
menciptakan bidadari adalah daripada mutiara sebagai mana sesetengah
hadis.
Bidadari itu tempatnya di syurga dan bukan di padang Mahsyar seperti firman Allah SWT dalam surah ad-Dukhan ayat 4 bermaksud: “Orang yang bertakwa itu berada pada tempat yang sejahtera. Di dalam taman syurga dan segala mata air. Mereka berpakaian sutera halus dan sutera tebal, yang mana mereka duduk berhadapan. Seperti demikianlah Kami sandingkan mereka itu dengan bidadari.”
Wanita di dunia ini jika meninggal dunia akan dipertemukan Allah SWT dengan suami mereka, dan jika ia masih gadis akan dipersandingkan dengan lelaki ahli syurga dengan segala kepuasan dan keredaan hati, tanpa sesuatu kekurangan dan kekecewaan dan mereka akan mendapat sesuatu nikmat yang belum pernah dilihat oleh mata, belum pernah didengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di dalam hati.
Satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah ra berkata,
Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Allah SWT berfirman: “Aku sudah
menyediakan buat hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh
mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas oleh
hati seseorang.
Cubalah kamu membaca: Fala ta’lamu nafsum maa ukhfiya lahum min qurrati
a’yun (Surah Sajdah ayat 17 yang bermaksud: “Maka tidak ada satu jiwa pun yang
mengetahui kesedapan mata yang disembunyikan buat mereka).
Janganlah pula kalangan perempuan rasa iri hati disebabkan lelaki di
syurga nanti disediakan bidadari kerana kaum wanita ahli syurga juga akan
mendapat bahagian mereka disebabkan amal soleh yang mereka lakukan di dunia
dulu.
Begitu juga janganlah ada wanita berasa iri hati disebabkan Allah SWT
mengizinkan lelaki berpoligami tidak bagi wanita. Allah SWT berfirman dalam
surah an-Nisa ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa
yang telah dikurniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak daripada
sebahagian yang lain. Bagi lelaki ada bahagian daripada apa yang telah
diusahakan dan bagi wanita pun ada bahagian dari apa yang mereka sudah
usahakan.”
Wallahualam.